Adun Balingian gesa Wisma Putra tidak berdiam diri berhubung isu pencerobohan Laut China Selatan

Abdul Yakub Arbi

KUCHING, 26 Julai: Adun Balingian Yakub Arbi melahirkan kebimbangan dengan sikap ‘diam diri’ kerajaan khasnya Wisma Putra dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara ketika ini.

Dalam kenyataan hari ini, Yakub berkata isu pencerobohan sudah banyak di perkatakan khasnya oleh wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak beberapa tahun kebelakangan ini namun krisis ini seakan tiada penyelesaian.

Katanya, krisis ini tidak boleh di pandang remeh mahupun mengambil sikap berdiam diri lagi.


“Saya rasa ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?

“Sejak 2021 lagi sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang China berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.

“Tindak tanduk ini juga sebenarnya boleh menggugat perkapalan serta aktiviti nelayan. Nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera,” kata Yakub.

Di Sarawak tambah beliau, kita boleh mengambil pendekatan diplomatik secara proaktif agar China memahami kebimbangan para nelayan tempatan yang bergantung sumber rezeki laut.

Jelas Yakub, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan resolusi bagi mempertahankan kedaulatan tanah air khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tidak mempunyai pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis ini yang cukup membimbangkan.

“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara kita untuk situasi seumpama ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Yakub berkata bahawa sebenarnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini.

Menurut beliau, negara Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. — DayakDaily