KOTA SAMARAHAN, Mac 24: Malang menimpa dua beradik apabila mereka maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah Toyota Hilux di KM11, Jalan Datuk Mohd Musa di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Ronaldo Savio Nyigot, 23, dari Taman Samarindah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kakak mangsa, Christina Fawcet Nyigot, 37, pula dilaporkan meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan di sini.
Katanya, insiden itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang Toyota Hilux yang bergerak di hadapan mereka.
“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka.
“Pemandu Toyota Hilux yang berusia 32 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexson menambah, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily