Acuan Sarawak untuk pembangunan negeri, kekal keharmonian berbilang kaum

Abang Johari (tengah) memperkenalkan penari-penari tradisional kepada Yang di-Pertuan Agong sambil disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

KUCHING, 26 April: Rakyat Sarawak berhasrat untuk menjadikan negeri ini maju dan berpendapatan tinggi sambil mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum megikut acuan Sarawak sendiri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Joahri Tun Openg berkata rakyat Sarawak sudah meyimpan impian sekian lama untuk melihat kemajuan negeri setaraf dengan negeri-negeri maju yang lain di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, rakyat Sarawak lebih percaya kepada acuan pemerintahan orang Sarawak sendiri untuk membangunkan negeri ini ke tahap kemajuan ekonomi yang lebih tinggi, sambil menjaga keamanan berbilang kaum dan agama.


“Sejak merdeka dalam Malaysia 56 tahun yang lalu, rakyat Sarawak mempunyai aspirasi bahawa Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju seperti negeri-negeri yang sudah maju di Semenanjung Malaysia.

“Rakyat Sarawak mahu menggunakan sumber kekayaan negeri ini dan sumber tenaga manusianya untuk memajukan negeri ini dari segi sosio-ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam “Majlis Santapan Malam Sempena Lawatan Kerja Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Agong ke Kuching” di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Abang Johari juga menjelaskan bahawa pada masa ini Kerajaan Sarawak berusaha dengan gigih untuk membina kemudahaan infrastruktur serta infrastruktur Internet, kemudahan asas dan utiliti supaya rakyat jelata, khususnya rakyat di luar bandar, dapat hidup dengan suasana yang lebih selesa.

Ketua Menteri serta Yang di-Pertuan Agong bergambar beramai-ramai dengan penari-penari tradisional. Turut kelihatan ialah Raja Permaisuri Agong, Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Ragad Kurdi dan isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

“Bumi Sarawak seluas 124,450 kilometer persegi adalah negeri yang terbesar dalam Malaysia dan hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia.

“Dengan pantai sepanjang 720 kilometer dari Tanjung Datu di Selatan hingga ke Kuala Baram, Limbang dan Lawas di Utara, dan persempadanan sepanjang 2,000 km dengan Kalimantan, Indonesia, keluasan bumi Sarawak merupakan 38 peratus daripada keluasan keseluruhan bumi Malaysia,” kata beliau.

Beliau juga berkata, dengan penduduk seramai 2.8 juta, Sarawak mempunyai latarbelakang kaum dan etnik, budaya dan agama yang pelbagai lagi unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain.

“Dengan sejumlah lebih kurang 27 kumpulan etnik utama yang mempunyai bahasa dan budaya masing-masing yang masih kekal hingga sekarang, rakyat Sarawak amat berbangga kerana mampu hidup dalam suasana aman dan harmoni atas dasar saling hormat-menghormati antara satu sama lain sejak turun temurun,” jelas beliau.

Abang Johari juga berkata bahawa Bandaraya Kuching telah diiktiraf sebagai Bandaraya Perpaduan atau “City of Unity” yang pertama di Malaysia kerana keutuhan perpaduan rakyatnya juga dikaitkan dengan penggemar kucing. Muzium kucing pertama di dunia juga terletak di bandaraya ini.

“Di samping itu Kuching dan sekitarnya mempunyai pelbagai lokasi tarikan pelancong seperti Taman Bako Negara, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Pusat Peranginan Tanah Tinggi Borneo, Muzium Sarawak, Kampung Budaya Sarawak, Gua Pari-Pari dan banyak lagi,” katanya.

Tarikan terkini yang menjadikan Bandaraya Kuching lebih indah dan menawan ialah Jambatan Darul Hana, Masjid Terapung dan “Musical Water Fountain”, kesemuanya terletak di kawasan Tebingan Kuching, tambah beliau.

Abang Johari menyifatkan Bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya yang banyak mempamerkan sejarah dan unsur-unsur kebudayaan Sarawak, khususnya melalui pameran artifaks di Muzium Sarawak yang terkenal di Asia Tenggara.

Kerja-kerja membina sebuah “Sarawak Museum Campus” untuk menjadikan Muzium Sarawak antara yang terbesar dan termoden di Asia sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020, jelas beliau. — DayakDaily