Abg Jo: Perjuangan mempertahankan hak minyak dan gas Sarawak dimulai Tok Nan

Abang Johari menggunakan keris bagi menyempurnakan perasmian majlis.

KUCHING, 14 Mac: Kemenangan kerajaan Sarawak dalam kes perbicaraan mahkamah dengan Petronas semalam adalah kejayaan meneruskan perjuangan yang dimulakan bekas ketua menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata segalanya bermula dari bekas ketua menteri itu yang tidak mahu orang Sarawak hanya melihat hasil minyak dan gas negeri mereka terus diambil orang lain.

“Saya menyambung kerja Tok Nan. Beliau berkata jangan orang Sarawak melihat sahaja hak minyak dan gas (diambil orang lain). Saya sambut dan teruskannya, sehingga saya bawa ke mahkamah dan hari ini (semalam) menang di mahkamah,” katanya ketika Majlis Perhimpunan Guru dan Pemimpin Silat Negeri Sarawak 2020 anjuran Rumpun Silat Sarawak (RSS), di sini, semalam.


Abang Johari (tengah) bersama peserta di majlis.

Abang Johari mengulas permohonan semakan penghakiman daripada Petronas yang mempersoalkan hak Sarawak mengenakan Cukai Jualan Negeri sebanyak lima peratus ke atas produk petroleum telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“Sekurang-kurangnya saya ada menunaikan hasrat Adenan, saya meneruskan bunga silat Adenan, jadi ini harus diteruskan,” katanya yang juga penaung RSS.

Selain itu, Abang Johari juga mengumumkan yang kerajaan Sarawak akan membangunkan tempat bagi kesemua 12 cawangan wilayah RSS di negeri ini yang akan menelan kos sebanyak RM800,000 untuk setiap cawangan itu.

“Kita akan merancang dan membangunkannya secara berperingkat, tidak dapat semuanya sekaligus dan ini untuk mengalakkan budaya silat. Hari ini tak mengapa, kita dan menang melawan Petronas, secara kebetulan,” katanya.

Berikutan itu, beliau mahu pesilat di negeri ini tidak mengunakan ilmu silat yang dipelajari mereka bagi tujuan membawa mudarat kepada orang lain tetapi hanya untuk mempertahankan diri seperti yang dipesan guru mereka.

“Jadi gunalah silat untuk mempertahankan orang kita yang ada di Sarawak dan kalau ada keadaan dimana orang jual, tapi kita beli dengan berhemah, jangan membawa mudarat,” katanya dan kerajaan Sarawak juga akan terus memberi sokongan kepada RSS. — DayakDaily