Abdullah Saidol: Ukas pantau keluhan netizen berkaitan projek kerajaan

Abdullah ketika ditemui di Kuching.

KUCHING, 17 April: Pihak Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) akan memantau keluhan netizen khususnya berhubung projek-projek kerajaan yang disyaki tidak memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, keluhan tersebut akan disalurkan kepada kementerian berkaitan.

“Sekarang ini banyak projek kerajaan negeri seperti projek transformasi luar bandar dan projek rakyat akan dilaksanakan selepas kita keluar daripada pandemik Covid-19.


“Banyak projek ini lambat sebab masalah pandemik dan sekarang ini di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, agensi-agensi terpaksa mengejar masa untuk menyiapkan projek yang lewat dan sakit dan sebagainya.

“Dan dalam keadaan ini, termasuk di kawasan saya sendiri ada projek tidak memenuhi spesifikasi terutamanya projek luar bandar dan masyarakat kampung merasa tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Kelab Silat Olahraga Pasukan Monyet Putih di Emart Taman Sukma hari ini.

Tambah Saidol, netizen juga dialu-alukan untuk membuat laporan sekiranya mereka mensyaki projek yang dilaksanakan tidak memenuhi piawaian atau spesifikasi.

Ini adalah kerana kerajaan banyak mengeluarkan belanja tetapi projek siap tidak seperti diharapkan.

“Netizen atau masyarakat luar bandar tidak mahu ketirisan terutama sekali yang melibatkan projek luar bandar,” katanya sebagai mengulas berhubung projek pembinaan jeti di Bekenu yang hangat di media sosial.

Abdullah juga tidak menidakkan hak nitizen untuk melaporkan penyalahgunaan dana kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, SPRM sentiasa bersedia untuk melakukan sisatan. — DayakDaily