Abdul Karim menyokong cadangan untuk membuat pengistiharan aset harta

Abdul Karim (kiri) bersalaman dan memberikan wang raya kepada anak yatim dari kawasan DUN Asajaya di majlis berbuka puasa bersama mereka, di Kuching.

KUCHING, Jun 10: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak menyambut baik cadangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak supaya menteri, menteri muda dan pegawai tinggi dalam kerajaan negeri melakukan pengistiharan terhadap aset harta dimiliki mereka.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian kerana pada masa ini mereka memang digalakkan pihak kerajaan negeri bagi mengistiharkan segala aset harta yang dimiliki.

“Satu cadangan yang baik, bagi saya lah kerana pada masa ini kita digalakkan untuk mengistiharkan aset harta dimiliki. Selain daripada itu kami juga telah membuat aku janji dibawah integriti sebelum kami mengangkat sumpah sebagai menteri atau menteri muda,” katanya selepas mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yatim dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, di sini, hari ini.


Abdul Karim berkata terpulang kepada kerajaan negeri Sarawak dan kerajaan pusat PH bagi menetapkan caranya mewajibkan semua menteri, menteri muda, setiausaha politik dan pegawai tinggi di negeri ini mengistiharkan harta aset mereka kerana tujuannya tetap sama iaitu memastikan mereka tidak melakukan penyelewengan, rasuah dan sebagainya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen supaya kerajaan negeri mengikut langkah kerajaan pusat yang meminta menteri, menteri muda dan pegawai tinggi yang dilantik mereka supaya mengistiharkan segala aset harta dimiliki dan pengistiharan itu juga didedahkan kepada Perdana Menteri.

Chong dalam sidang medianya hari ini berkata ini kerana ketika ini semua menteri, menteri muda, pegawai tinggi dan setiausaha politik di negeri ini hanya diwajibkan mengistiharkan aset harta mereka kepada kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sahaja.

Sehubungan itu, PH Sarawak mencadangkan mereka juga mesti mengistiharkan aset harta yang dimiliki kepada Perdana Menteri dan Pusat Nasional bagi Pentadbiran, Iintegriti dan Anti Rasuah (GIACC) yang akan menjadi penjaga kepada maklumat terbabit. — DayakDaily