Abdul Karim: Jangan guna RTM untuk kepentingan politik

Abdul Karim (berdiri lima dari kanan) merakam kenangan bersama pemenang-pemenang kategori Elite.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, Mac 31: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini sekali lagi melemparkan sindiran pedas khas buat Radio Televisyen Malaysia(RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia.

Berucap di Majlis Perasmian Samarahan Bike Challenge(SBC) 2019 sebentar tadi, beliau kesal kerana krew RTM tidak hadir untuk membuat liputan acara tersebut.

“Media lain ada datang, mereka tahu apa yang dilakukan kita, iaitu ada acara berkualiti yang boleh disiarkan.

“Tapi RTM sebagai media nombor satu, malangnya tidak dapat melihat itu.

“Mungkin menterinya Gobind Singh Deo (Menteri Telekomunikasi dan Multimedia) dan pengarah disini melihat usaha kita untuk membangunkan sukan dan menyatupadukan rakyat tiada memiliki nilai untuk disiarkan,” kata Abdul Karim.

RTM seharusnya menyiarkan acara dan peserta yang terlibat dan tak perlulah untuk menyiarkan gambar beliau, ujar beliau.

Abdul Karim (lima dari kanan) menyampaikan hadiah kepada Wan Abdul Rahman dari Pasukan Prestanda (Terengganu) yang meraih tempat pertama kategori Elite, Samarahan Bike Challenge 2019.

Perkara ini, tambah beliau, sudah kerap kali diluahkan terdahulu dimana program yang dianjurkan kerajaan negeri tidak mendapat liputan RTM.

“Saya beri tabik hormat pada polis dan Jabatan Kesihatan kerana mereka tahu walaupun mereka tinggal di Sarawak dan agensi adalah dibawah kerajaan pusat.

“Mereka sedar, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Mereka masih bertugas walaupun mereka dibawah agensi pusat.

“Saya melihat tadi anggota polis trafik membantu melancarkan perlumbaan. Tahniah pada polis, RELA, JPAM dan Jabatan Kesihatan,” tegas Abdul Karim.

Pada masa yang sama tambah beliau, usaha kerajaan menerusi penganjuran program adalah untuk menyemarakkan aktiviti belia, rakyat dan untuk pembangunan kawasan.

Sehubungan dengan itu, beliau merasakan ada motif politik disebalik ketidakhadiran RTM dan Jabatan Penerangan.

“Ketidakhadiran mereka (RTM dan Jabatan Penerangan) sedikit sebanyak menunjukkan mereka bermain politik.

“Ini bukan program politik tetapi program untuk kita bersama. Oleh itu, apa yang dilakukan mereka adalah satu tindakan yang salah.

“Kerana RTM adalah kepunyaan rakyat Malaysia dan kita semua rakyat Malaysia. Jangan guna RTM untuk Gobind sahaja dan untuk Pakatan Harapan sahaja,” kata Abdul Karim.

SBC 2019 memasukki Edisi Keenam penganjuran dan seperti penganjuran terdahulu turut disertai pelumba dari dalam dan luar negeri termasuk dari Kalimantan Barat. — DayakDaily