Abang Johari: Sarawak manfaatkan hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan untuk majukan ekonomi

Taib (memegang bendera Malaysia) dan Abang Johari (memegang bendera Sarawak) melepaskan perserta Unity Walk di Perkarangan Dewan Suarah Simanggang.

Oleh Chris Bishop

SIMANGGANG, 31 Ogos: Sarawak ingin memanfaatkan hak dan keistimewaan dalam Perlembagaan untuk mengangkat kemajuan ekonomi negeri ini, tegas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Justeru katanya, Sarawak inginkan sebuah kerajaan persekutuan yang stabil demi semangat kebangsaan yang didukung dan kepentingan negara keseluruhannya.


“Pada penghujung Februari lepas ketika negara kita menghadapi kemelut politik di Putrajaya dan negara terumbang-ambing tanpa kerajaan, Sarawak telah memilih untuk mempastikan terbentuknya sebuah kerajaan persekutuan yang stabil.

“Konsep federalisme bukanlah suatu konsep yang tidak ada kebaikannya.

“Banyak negara maju juga ditadbir berasaskan konsep kerajaan pusat dengan beberapa keistimewaan dan hak tertentu kepada negeri-negeri seperti kedudukan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” kata Abang Johari.

Beliau berkata pada program ‘Unity Run’ bersempena Sambutan Hari Kebangsaan 2020 yang diadakan di Dewan Suarah, Simanggang di sini, hari ini.

Program dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut disertai Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Abang Johari membantu menolak seorang OKU yang turut menyertai Unity Walk di Simanggang.

Tambah Abang Johari, alasan untuk bersetuju menubuhkan Malaysia dengan wilayah-wilayah lain demi keselamatan dan kedaulatan Sarawak pada tahun 1963 masih relevan sekarang.

Katanya, ia dalam suasana Sarawak berjuang untuk mempastikan hak-haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan IGC dihormati dan dilaksanakan sewajarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melabur begitu banyak dalam menyediakan infrastruktur di seluruh Sarawak.

“Tanpa sistem infrastruktur yang efisien, ekonomi Sarawak tidak akan mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi dan berupaya menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Pelbagai program pembangunan yang sedang dirancang atau dilaksanakan adalah pengisian kemerdekaan yang sebenarnya harus menjadi perjuangan utama kita.

“Usaha pengisian ini hendaklah berlaku dalam suasana aman damai dan harmonis, dan juga dalam iklim politik yang stabil,” ujar Abang Johari.

Seramai 250 peserta menyertai Unity Walk bersama Abang Johari di Simanggang.

Pada program tersebut, Abang Johari bersama tetamu kehormat yang lain turut menyertai ‘Unity Walk’ sejauh 1.6 km di Pasar Simanggang.

Seramai 250 belia yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan pakaian tradisi masing-masing turut menyertai program tersebut.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Pelancongan, Seni, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. — DayakDaily