Bidang pembangunan keutamaan pemimpin Sarawak, kata Abdul Karim

Dari empat dari kiri: Abang Johari, Uggah dan Abdul Karim merakamkan kenangan bersama peserta 'Unity Walk' di Simanggang.

Oleh Chris Bishop

SIMANGGANG, 31 Ogos: Pemimpin Sarawak terdahulu dan sekarang sentiasa memikir, merancang dan melaksanakan semua bidang pembangunan untuk memastikan rakyat hidup aman, sejahtera dan selesa.

Oleh itu, kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, kerajaan Sarawak adalah sebuah kerajaan yang prihatin, mendengar, mengambil berat dan menyampaikan kehendak rakyat.


Berucap pada program ‘Unity Walk’ bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020 di Dewan Suarah Simanggang, beliau berkata semua pembangunan yang dikecapi pada hari ini adalah berkat usaha para pemimpin-pemimpin.

“Dari zaman Datuk Stephen Kalong Ningkan hinggalah ke Datuk Patinggi Ketua Menteri kita sekarang yang sentiasa memikir, merancang dan melaksanakan semua bidang pembangunan untuk memastikan rakyat Sarawak hidup aman,” kata Abdul Karim.

Walau bagaimanapun, tambah beliau, bukan semua permasalahan dapat diselesaikan dalam satu masa yang singkat.

Katanya, ada yang memerlukan masa yang pendek dan ada yang memerlukan masa yang panjang.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita tetap sentiasa memikirkan bagaimana hendak meneruskan usaha untuk mencari jalan terbaik untuk memajukan negeri ini.

“Maka tema sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ amat sesuai dan relevan sekali sebab di Sarawak kita mengamalkan konsep ‘Sarawak Prihatin’ terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam tempoh 57 tahun dalam Malaysia, Sarawak telah mengecapi beberapa tahap pembangunan di mana sekarang banyak projek projek besar seperti Projek Jalan Pan Borneo, pembinaan jambatan dan infrastruktur lain, kemajuan kawasan perindustrian Sarawak Corridor of Renewable Energy (Score) dan yang lain-lain.

Program ‘Unity Walk’ telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan turut disertai Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isterinya Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah. — DayakDaily