Abang Johari menyeru umat Islam patuhi SOP dan garis panduan sambutan Aidilfitri

Chief Minister Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg and his wife Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang send their Hari Raya Aidilfitri greetings.

KUCHING, 12 Mei: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru kaum Muslimin terus berhati-hati dan mematuhi segala SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau menggesa semua supaya patuhi segala prosedur operasi ‘standard’ (SOP) dan garis panduan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melalui Majlis Islam Sarawak mengenai Takbir Hari Raya, Solat Sunat Adilfitri dan lain-lain.

“Aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan termasuk jamuan selepas solat Aidilfitri di masjid dan surau, takbir dari rumah ke rumah dan rumah terbuka.


“Elakkanlah daripada menziarah kubur, berhimpun secara beramai-ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, dan elakkan juga daripada membuat perjalanan merentasi daripada satu zon ke zon yang lain tanpa kebenaran pihak polis, terutamanya daripada zon merah.

“Di zon-zon di mana Perintah Pergerakan Kawalan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan Solat Sunat Aidilfitri, ziarah Hari Raya dan ziarah kubur, maaf, tidak dibenarkan,” kata beliau dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2021.

Tambah Abang Johari, peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini membimbangkan semua dan Sarawak adalah antara negeri teratas dari segi jumlah kes harian mengatasi negeri-negeri lain untuk beberapa minggu.

Ujar beliau, keadaan yang agak terkawal sebelum ini dengan jumlah kes berada pada tahap dua angka bertukar menjadi keadaan yang mendatangkan keresahan kepada semua.

Dalam pada itu, JPBNS katanya, telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasar kepada pengalaman lampau.

Ujar beliau, berpandukan kepada data dan keadaan di lapangan pihak JPBNS terus mengenakan PKPD di tempat-tempat di mana berlaku kes-kes jangkitan.

Ini adalah sejajar dengan dasar “Jejak, Uji, Kuarantin, Sisih” dan didapati inilah kaedah yang lebih praktikal berbanding dengan “menutup” seluruh daerah atau negeri yang terlibat dengan melaksanakan PKP.

“Kerajaan Negeri juga mengambil kira impak PKP terhadap kegiataan ekonomi di negeri ini dimana pelaksanaan PKP secara menyeluruh akan mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi negeri yang sudahpun menerima tamparan yang hebat ekoran PKP dan PKPB setahun yang sudah.

“Ekonomi negeri harus terus dijana supaya rakyat kita tidak hilang pekerjaan dan program pembangunan terus terlaksana,” kata Abang Johari.

Bersempena Aidilfitri tahun ini, Abang Johari mengajak seluruh rakyat Sarawak pelbagai bangsa, keturunan, agama dan kecenderungan politik, khususnya kaum Muslimin untuk terus menjaga akhlak budi pekerti dan mengukuhkan budaya hormat-menghormati antara satu sama lain.

Katanya, perpaduan rakyat Sarawak amat penting bukan hanya pada masa senang tetapi juga dalam pada ketika Sarawak menghadapi bencana seperti pandemik Covid-19.

“Ini bukanlah masanya untuk kita berpecah atau berbalah antara satu sama lain, namun pihak kerajaan tetap bersedia untuk menerima pandangan yang berbeza dan membina,” ujar Abang Johari. — DayakDaily