Sarawak teruskan PKPB “circuit breaker” sehingga 17 Mei, tidak ikut langkah Putrajaya laksana PKP

A file photo of the Sarawak State Legislative Assembly building.

KUCHING, 11 Mei: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah bermesyuarat dan bersetuju untuk terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) “circuit breaker” yang sedia ada dari 7 Mei 2021 hingga 17 Mei 2021 di seluruh Sarawak.

Ini berikutan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.

Namun katanya, bagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, langkah-langkah khusus yang sedang dilaksanakan diteruskan.


“Berdasarkan trend kes-kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara mengenai pengurusan Covid-19 semalam.

Menurut Muhyiddin, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

Katanya, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan operasi prosedur ‘standard’ (SOP) dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik.

“Saya ingin mengingatkan (bahawa) gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita masih belum menang. Hadapilah gelombang ketiga ini dengan penuh disiplin.

“Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri selain ketentuan Ilahi. Duduklah di rumah jika tiada perkara penting yang perlu diurus. Wabak ini menjadi lemah dan tewas jika kita mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi.

“Disiplin kendiri ini bukanlah sukar untuk dilaksanakan. Elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal, sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam dan bersihkan tangan anda pada setiap masa di samping mengamalkan kebersihan kendiri yang baik,” ujar beliau.

Sepanjang tempoh ini tambah Muhyiddin, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi, dan SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara. — DayakDaily