9,118 pelajar Sarawak berdaftar melalui SV

Fazzrudin Abdul Rahman

KUCHING, 24 Mei: Seramai 9,118 pelajar anak Sarawak telah mendaftar melalui Sarawak Volunteers (SV) bagi dibantu dihantar pulang ke negeri ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) sehingga 22 Mei lepas.

Adun Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman berkata berdasarkan maklumat Sekretariat SV dan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur daripada jumlah itu 8,500 pelajar terbabit telah dibantu pulang ke negeri ini termasuk yang mengunakan penerbangan hari ini.

“Baki yang belum dihantar setakat ini adalah seramai 618 pelajar,” katanya kepada DayakDaily hari ini.


Fazzruddin, yang juga penasihat SV, berkata dari sejumlah 618 pelajar terbabit pula, seramai 614 orang adalah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak manakala empat pelajar dari institusi pengajian tinggi lain.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan berikutan tempoh keputusan ujian pengesanan Covid-19 terhadap pelajar UPSI masih belum dapat dipastikan maka penerbangan membawa pelajar anak Sarawak di universiti itu terpaksa ditangguhkan.

“Penerbangan membawa pelajar di UPSI terbabit yang dijadualkan pada 23 Mei lepas, terpaksa ditangguhkan ke 28 Mei atau 29 Mei depan,” katanya. -DayakDaily