Sarawak sedia panggil pulang pelajar di wilayah bergolak Timur Tengah – Abang Johari

Abang Johari ketika ditemui di Kuching.

KUCHING, 16 April: Sarawak sedia memanggil pulang pelajarnya yang menuntut di beberapa universiti di Timur Tengah berikutan keadaan tegang di wilayah tersebut.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan kini sedang memantau rapat dan menunggu isyarat.

“Kita menunggu nasihat daripada Kementerian Luar sama ada keadaannya merbahaya atau tidak.


“Dan kalau Kementerian Luar bersama Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan pandangan bahawa pelajar kita yang ada di Timur Tengah hendaklah dibawa keluar, kita akan mengikutlah arahan tersebut,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Adun Gedong Datuk Naroden Majais di Sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Yayasan Sarawak ada menghantar sejumlah pelajar ke beberapa universiti di Timur Tengah.

Paling ramai katanya adalah di Jordan dan Mesir yang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan agama.

“Kita sedang berhubung kerana kita ada pejabat Kementerian Luar di Sarawak,” jelas Abang Johari.

Sementara itu baru-baru ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam ‘peningkatan serius menerusi serangan besar-besaran yang dilancarkan ke atas Israel oleh Republik Iran’.

Antonio bimbang mengenai bahaya sebenar peningkatan ketegangan yang dahsyat di seluruh wilayah ini. — DayakDaily