780 kayu balak haram disita di Ulu Baleh

Anggota SFC dan PPM memeriksa kayu balak yang dirampas.

KAPIT, April 20: Operasi bersepadu yang dilakukan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram di Ulu Baleh dekat sini baru-baru ini.

SFC dalam satu kenyataan akhbar hari ini memberitahu, tiga serbuan telah dilakukan sejak April 10 lalu iaitu di Nanga Simpileh dan dua lagi di kawasan kawasan pembalakan yang dilesenkan.

Kata SFC, menerusi tiga serbuan itu, pasukan bersepadu tersebut telah berjaya menyita 780 kayu balak pelbagai spesies dan saiz.


“Pasukan serbuan juga menyita sebuah jengkaut, traktor (4), generator (1) dan pam air (1).

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) iaitu pada bahagian pangkal dan hujung kayu balak terbabit,” kata SFC dalam satu kenyataan akhbar hari.

SFC menambah, nilai rampasan kesemua kayu balak itu masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan selesai dilaksanakan.

“Satu laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat sebelum diserahkan kepada JHS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015 dan pembalak haram. ā€” DayakDaily