PKR Hulu Rajang menyoal status projek menghalang hakisan tebingan sungai di Kg Long Busang

Abun Sui Anyit

KUCHING, 3 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hulu Rajang mempersoal pelaksanaan projek menghalang hakisan tebingan sungai di Kampung Long Busang yang kini tiada status siap.

Ketuanya Abun Sui Anyit berkata, projek bernilai RM200,000 itu dikhabarkan tidak lagi dilaksanakan.

“Malah hasil kerja setakat ini dipersoalkan kerana tidak langsung menghalang tebingan dari runtuh.


“Lebih teruk, masih ada “sangkar” batu yang belum diisi seolah-olah projek ini sedang terbengkalai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, daripada gambar-gambar yang ditunjukkan penduduk kampung tersebut, timbul persoalan sama ada kontraktor yang dilantik oleh kerajaan mempunyai kepakaran dalam kerja-kerja menghalang tebingan sungai daripada terhakis.

Adakah Jabatan Kerja Raya (JKR) meluluskan projek ini, tanya Abun.

“Keadaan tebingan yang runtuh ini menghantui fikiran penduduk.

“Justeru, PKR Hulu Rajang menyeru pihak JKR memberi penjelasan berkaitan projek ini dan memberi jaminan bilakah projek ini akan siap,” ujar beliau. — DayakDaily