6 lelaki ditahan berkaitan kes pecah kedai di Miri

Suspek ditahan berkaitan tiga kes pecah kedai di bandaraya Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 13 Nov: Polis Miri berjaya menyelesaikan tiga kes pecah kedai di bandaraya ini susulan penahanan enam suspek lelaki pada malam semalam (12 November).

Suspek berusia antara 28 sehingga 44 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan pasukan polis dari pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).


Kesemua suspek diberkas di empat lokasi berasingan di sekitar kawasan kediaman Sungai Baong Miri dalam Operasi Cantas.

Salah seorang suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Operasi Cantas tersebut diketuai Inspektor Erwin Geofrry Ussan bermula sekitar jam 10.30 malam sehingga 10.50 malam tadi.

Penemuan barangan kes di salah sebuah lokasi di Miri.

Menurut siasatan awal, suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai kraftangan di Miri Handicraft Centre di Jalan Brooke di sini pada Oktober 9 yang lalu.

Kejadian melibatkan kerugian sebanyak RM5,000.

Antara barangan kes yang turut dirampas semasa tangkapan ialah sebilah parang ilang, satu beg tradisional Dayak (lupong) dan seutas tali pingang tradisional Dayak.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah mengesahkan tangkapan ketika dihubungi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily