‘Geng Kong’ aktif lakukan pecah kilang, kedai dobi dan mesin layan diri tumpas

Ahsmon menunjukkan motosikal yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 4 Mac: ‘Geng Kong’ yang disyaki aktif melakukan pecah masuk, curi premis 24 jam akhirnya tumpas selepas dicekup sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek yang ditangkap adalah termasuk seorang remaja berusia 15 tahun dan tiga suspek lelaki berusia 20, 21 dan 63 tahun.

Katanya, kumpulan yang dikesan aktif bermula Disember 2021 itu dipercayai melakukan kegiatan jenayah mereka sekitar jam 2 hingga 5 pagi.


“Mereka menyasarkan premis-premis kedai 24 jam sepertu kedai dobi dan mesin layan diri (vending machine)

“Modus operandi adalah menggunakan motosikal sama namun warna dan nombor pendaftaran akan diubah bagi mengelak dikesan polis,” katanya dalam sidang media berhubung kejayaan tersebut, hari ini.

Jelasnya juga, suspek remaja 15 tahun terbabit akan bertindak sebagai penjaga kawasan sebelum memberi isyarat kepada ahli kumpulan yang lain untuk datang melakukan pecah kedai.

Kesemua suspek ditangkap pada 2 Mac lalu.

“Seorang daripada suspek berusia 63 tahun iaitu pemilik sebuah bengkel haram yang menjadikan bengkel tersebut sebagai tempat penyimpanan barangan curi dan mengubah suai kenderaan turut ditahan,” katanya.

Selain itu, Ahsmon percaya suspek terlibat 20 kes pecah kedai di sekitar Kuching, iaitu 13 daripadanya telah selesai siasatan, manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama empat hari.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan kakisan, letupan, dan senjata berbahaya. ― DayakDaily