59 aduan penipuan urusniaga ‘online’ direkodkan di Sarawak pada tahun ini.

Md Nawawi Ab Rahman

KUCHING, Jun 7: Sejumlah 59 aduan telah direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung penipuan urusniaga secara atas talian di seluruh Sarawak pada tahun ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, Md Nawawi Ab Rahman berkata daripada jumlah aduan tersebut, anggaran kerugian yang dialami pengadu adalah kira-kira RM75,000.

Menurut beliau, kebanyakan kes melibatkan pengguna membayar tetapi barang yang dipesan tidak diterima (tidak dihantar oleh peniaga/ penjual).

“Modus operandi ialah dengan menawarkan produk yang murah melalui tapak pasar maya di dalam media sosial dan WhatsApp,” katanya ketika ditemubual.

Beliau menambah pada tahun lepas, KPDNKK Sarawak telah merekod sejumlah 130 kes penipuan urusniaga secara atas talian.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran produk atau barangan yang dijual melalui pasar maya.

Katanya, orang ramai perlu lebih bijak menilai peniaga tanpa secara membuta tuli mempercayai mereka hanya disebabkan tertarik dengan harga atau barangan yang ditawarkan.

“Itulah sebabnya KPDNKK tidak menggalakkan urusniaga online yang tidak sah atau berdaftar kerana ini boleh mengundang penipuan.

“Kalau nak beli barang secara online, gunalah platform yang dijamin selamat seperti menerusi aplikasi-aplikasi beli belah online yang berdaftar,” katanya. — DayakDaily