432 kes penyakit hilang pendengaran diterima JKKP Sarawak

Listening. — DayakDaily file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Sept 2: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak menerima sebanyak 432 laporan berhubung kes penyakit hilang pendengaran setakat ini.

Sehubungan itu, JKKP Sarawak telah mengkompaun syarikat yang tidak menjalankan pemonitoran awalan pendedahan bising kepada pekerjanya.

Pengarah JKKP Sarawak Dr Ir Nor Halim Hasan berkata, tindakan kompaun tersebut merupakan tindakan jabatan setelah pihak majikan ingkar untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai majikan.

Katanya, pihak jabatan juga akan mengambil tindakan mahkamah sekiranya kesalahan tersebut masih terus dilakukan.

“Terdapat peningkatan terhadap pelaporan penyakit berkaitan pekerjaan dari tahun ke tahun.

“Pada tahun 2017 sahaja terdapat 476 kes dilaporkan ke JKKP Sarawak dan melibatkan penyakit pekerjaan tertinggi iaitu penyakit hilang pendengaran sebanyak 432 kes,” katanya hari ini.

Nor Halim menambah, pada kebiasaannya masalah bunyi bising adalah disebabkan bunyi yang dihasilkan daripada jentera-jentera dan mesin-mesin yang digunakan di tempat kerja melebihi tahap 85 dB(A).

Jelasnya, situasi itu amatlah membimbangkan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JKKP Sarawak telah mengambil langkah mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising) 1989, Akta Kilang dan Jentera.

“Mana-mana pihak yang melanggar mana-mana peruntukan Peraturan-Peraturan Kilang dan Jentera (Pendedahan Bunyi Bising) 1989 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000.

“Dengan adanya tindakan ini ia diharap dapat memberi mesej kepada pihak majikan supaya mematuhi peraturan yang sedia ada,” tambahnya.

Beliau juga mengingatkan agar majikan sentiasa melibatkan pekerja dalam menangani masalah bunyi bising di tempat kerja.

Ujarnya, dengan adanya kombinasi antara majikan yang prihatin, pekerja yang produktif, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif serta keadaan persekitaran yang kondusif diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan daya saing industri dan negara secara keseluruhannya.

“Saya juga menyeru supaya pihak pekerja dan majikan berganding bahu membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja,” katanya lagi. — DayakDaily