402 serbuan, 684 tangkapan di Miri setakat ini menerusi Ops Dadu dan Ops Noda

ACP Lim Meng Seah (file photo)

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Sept: Sebanyak 402 serbuan telah dilakukan sepanjang tahun ini dalam tempoh lapan bulan, bermula Januari hingga 31 Ogos ke atas premis judi dan pusat hiburan termasuk pusat urut di sekitar daerah Miri.

Dalam serbuan tersebut, sebanyak 684 tangkapan telah dilakukan pihak polis menerusi Ops Dadu dan Ops Noda, ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah hari ini ketika satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Miri (IPD).


“Dalam serbuan Ops Noda sepanjang tempoh tersebut, kita turut membuat rampasan wang tunai berjumlah RM126,448,” jelasnya.

Menurut Lim, pihak polis sentiasa melakukan serbuan dan pemeriksaan ke atas pusat-pusat hiburan dan rumah urut bagi memastikan pengusaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Sebenarnya kita sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis ini dari masa ke semasa, cuma kita tidak menghebahkan ke media,” katanya.

Lim ketika ditanya mengenai indek jenayah daerah Miri berkata, peratusan indek (jenayah) untuk daerah Miri menampakkan peningkatan sebanyak 30 peratus untuk tempoh Januari 2020 sehingga 7 Sept berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Jumlah kes untuk tahun ini ialah sebanyak 179 kes.

“Kita menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus kes-kes jenayah melibatkan pecah rumah dan lain-lain kes curi termasuk curi buah tepi jalan dan buah sawit,” jelasnya.

Katanya, antara penyumbang utama kepada peningkatan indek jenayah adalah Covid-19, yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi. — DayakDaily