Covid-19: 100 kes positif baharu dengan 85 kes penularan tempatan

Dr Noor Hisham Abdullah. (gambar fail)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 SEPTEMBER: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 100 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Menurut beliau, ia melibatkan 85 kes tempatan dan 15 kes import.

“Daripada 85 kes tempatan tersebut, 62 adalah dari Kluster Benteng LD manakala baki 23 adalah dari Kluster Sungai,”katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 9,559 kes.


Dengan itu katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 295 kes.

Jelas Dr Noor Hisham lagi, 85 kes tempatan adalah melibatkan 55 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Manakala 15 kes import pula melibatkan 2 warganegara dan 13 kes bukan warganegara.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan kekal 128 kes.

“Sebanyak 12 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,136 kes atau 95.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 7 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU)dan 4 kes memerlukan bantuan pernafasan.-DayakDaily