4 lelaki disyaki curi minyak pelincir ditahan polis

Suspek dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan.
Advertisement

Brad Rantayy

MIRI, 30 Okt: Polis menahan empat lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kes mencuri minyak pelincir di sebuah stesen minyak di Lopeng Jalan Miri ByPass seminggu yang lalu.

Kesemua suspek telah berjaya dikesan dan ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri sekitar jam 4.30 petang Khamis (29 Oktober) di sebuah rumah di Jalan Piasau Jaya 2A.

Advertisement

Penangkapan dilakukan susulan laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa dan polis menjalankan siasatan di tempat kejadian serta meneliti rakaman CCTV di stesen minyak berkenaan.

Kesemua suspek, berusia 33, 34 ,35 dan 45 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam kejadian pada pagi 22 Oktober (Khamis), sekitar jam 10 pagi itu, pekerja stesen minyak tersebut telah memaklumkan kepada pengurusnya bahawa dua botol minyak pelincir jenis sprinta F500 telah hilang dari rak sedangkan tiada pembelian dilakukan.

Pemeriksaan dari CCTV tersebut mendapati dua lelaki memasuki kedai mesra stesen minyak sebagai pelanggan sekitar jam 9 pagi telah mencuri botol minyak pelincir di atas rak jualan kedai.

Dalam pada itu, melalui rakaman CCTV itu juga, pengadu mendapati dua lelaki tersebut menaiki sebuah kereta jenis Alza yang mana pemandunya ada mengisi minyak kereta semasa kejadian berlaku.

Kerugian dianggarkan RM64. — DayakDaily

Advertisement