36,385 calon SPM Sarawak duduki ujian bertulis mulai hari ini

File photo for illustration purposes. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 2 Mac: Seramai 36,385 calon akan menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM tahun 2021 mulai hari ini hingga 29 Mac 2022 di 257 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Norisah Suhaili berkata, ia melibatkan 34,142 calon sekolah menengah kebangsaan, 937 calon sekolah menengah swasta, dan 316 calon sekolah di bawah agensi lain selain Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Manakala 26 calon adalah daripada sekolah menengah agama rakyat serta 94 orang merupakan calon persendirian.


“Calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ketetapan ini adalah bagi memastikan calon, guru dan pengawas berada di dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya pada sidang media di SMK St Joseph di sini, hari ini.

Tambah Norisah, kesemua 257 pusat pemeriksaan yang dibuka adalah melibatkan 109 sekolah menengah kebangsaan, enam di sekolah agensi lain, 13 sekolah menengah swasta, satu sekolah menengah agama rakyat dan 48 pusat persendirian.

Peperiksaam SPM 2021 di Sarawak ini juga melibatkan seramai 3,609 petugas iaitu 3,400 pengawas dan 209 penyelia kawasan.

Dalam pada itu, Norisah memaklumkan bahawa bagi pelajar yang didapati positif Covid-19 termasuk kontak rapat yang menjalani tempoh kuarantin, mereka akan menduduki peperiksaan tersebut pada bulan April ini. — DayakDaily