3,564 mangsa banjir masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memantau keadaan banjir di Marudi.

KUCHING, Feb 9: Seramai 3,564 mangsa banjir masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri setakat pukul 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan itu melibatkan 1,121 buah keluarga.

Katanya, terdapat enam bahagian yang masih terjejas dengan bencana banjir iaitu Serian, Sibu, Mukah, Sarikei, Bintulu dan Limbang.


“Sibu merekodkan jumlah paling ramai mangsa iaitu 1,163, diikuti Bintulu (1,210), Serian (933), Limbang (136), Mukah (114) dan Sarikei (8).

“Kita juga dimaklumkan kesemua pusat pemindahan banjir berada dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, bencana tersebut juga mengakibatkan 22 buah klinik kesihatan terjejas dengan enam buah ditutup akibat kawasan klinik dinaiki air banjir.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga melaporkan 48 sekolah ditutup dan tujuh daripada digunakan sebagai pusat pemindahan banjir,” ujarnya lagi — DayakDaily