Indeks jenayah negeri jatuh 6 peratus tahun lepas

SAC Dato Dev Kumar (dua dari kanan) menyerahkan cenderahati kepada ACP Lee Moh Le (kanan) yang akan bersara selepas menyaksikan majlis serah tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak.

KUCHING, Feb 9: Polis Kontinjen Sarawak dengan kerjasama orang ramai yang memberikan maklumat tentang jenayah telah berjaya menurunkan indeks jenayah negeri ini keseluruhannya sebanyak enam peratus sepanjang tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dato Dev Kumar berkata demikian dan mendedahkan yang indeks jenayah terbabit berdasarkan kepada penurunan peratusan jenayah di negeri ini yang terbahagi kepada jenayah harta benda dan jenayah kekerasan.

“Indeks Jenayah Sarawak telah berjaya diturunkan sebanyak enam peratus tahun lepas. Jenayah harta benda telah menurun sebanyak enam peratus manakala jenayah kekerasan menurun sebanyak tujuh peratus,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Ibupejabat Polis Kontinjen Sarawak antara ACP Lee Moh Le yang bersara dan digantikan ACP Denis Leong Soon Kuai di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Badruddin, di sini, hari ini.


Dev menjelaskan keseluruhannya sebanyak 6,382 kes jenayah direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lepas, penurunan sebanyak enam peratus atau sebanyak 425 kes berbanding sepanjang 2016.

Manakala sebanyak 5,500 kes jenayah harta benda telah dilaporkan di negeri ini pada 2017 berbanding 5,856 kes terbabit pada 2016 yang menurun sebanyak 356 kes atau enam peratus.

“Kebanyakkan kes jenayah harta benda di Sarawak tahun lepas ialah pecah rumah, sebanyak 1,320 kes yang menurun sebanyak 219 kes (14 peratus); curi motokar sebanyak 578 kes yang menurun sebanyak 170 kes (23 peratus) dan curi van/lori/jentera berat sebanyak 71 kes yang menurun 101 kes (59 peratus),” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui kesukaran mengawal kes kecurian motosikal tahun lepas dengan sebanyak 2,255 kes dilaporkan, peningkatan sebanyak 248 kes (12 peratus) berbanding 2016 dengan motosikal yang paling dicuri ialah Honda Wave sebanyak 314 kes, diikuti Honda EX5 (279 kes) dan Modenas Kriss (210 kes).

Bagi jenayah kekerasan pula, keseluruhannya sebanyak 882 kes jenayah terbabit yang dilaporkan di negeri ini sepanjang 2017 berbanding 951 kes pada 2016 yang menurun sebanyak 69 kes atau tujuh peratus.

Jenayah kekerasan termasuk kes rogol dengan tahun lepas sebanyak 150 kes rogol telah dilaporkan dan meningkat 12 kes (sembilan peratus) berbanding 2016, dikuti kes samun tanpa senjata api dengan 88 kes dilaporkan yang meningkat 13 kes (17 peratus) berbanding 2016, dan kes bunuh dengan sebanyak 28 kes dilaporkan yang meningkat satu kes (empat peratus) berbanding 2016.

Bagaimanapun jenayah kekerasan lain menurun tahun lepas iaitu samun berkawan tanpa senjata api dengan sebanyak 240 kes dilaporkan yang menurun 50 kes (17 peratus) berbanding 2016 dan mendatangkan kecederaan parah sebanyak 372 kes yang menurun 40 kes (10 peratus) berbanding 2016.

“Tiga daerah yang mencatat peningkatan jenayah paling tinggi tahun lepas ialah Lubok Antu dengan 32 kes yang meningkat 17 kes (113 peratus) berbanding 2016 dan Serian dengan sebanyak 145 kes yang meningkat 17 kes (13 peratus) berbanding 2016 serta Kota Samarahan dengan sebanyak 332 kes yang meningkat 29 kes (10 peratus) berbanding 2016,” kata Dev.

Pihaknya juga berjaya menurunkan separuh kes jenayah di negeri ini dari sebanyak 12,930 kes itu pada 2008 kepada 6,382 kes itu tahun lepas dan ini berikutan pihaknya mengunakan strategi mengeluarkan penjenayah berkeliaran di jalanan mengunakan Akta Pencegahan Jenayah( POCA) 1959.

Dev berkata penjenayah yang tidak dapat dituduh pihaknya dimahkamah atas kesalahan jenayahnya boleh dibuang ke daerah lain atau di hantar ke pusat tahanan menggunakan POCA dan polis akan terus mengunakan strategi terbabit tahun ini. — DayakDaily