30 pekerja kilang papan tinggal sehelai sepinggang, rumah pekerja musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan rumah pekerja kilang papan di Bintawa Industrial Estate, Kuching.

KUCHING, Ogos 5: Seramai 30 pekerja kilang papan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pekerja yang didiami mereka di Jalan Kilang Bintawa Industrial Estate di sini musnah dalam satu kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu telah memusnahkan 100 peratus sebuah rumah dua tingkat berstruktur tidak kekal yang mempunyai 18 unit pintu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.01 petang.


Katanya, sejurus mendapat maklumat kebakaran itu, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Seramai 19 anggota bomba dari BBP Kuching dan BBP Batu Lintang turut diarahkan bagi membantu dalam operasi memadam kebakaran itu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah pekerja tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan dua mangsa yang cedera pada kaki mereka.

Tiong menambah, pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja memadam kebakaran dengan menggunakan air daripada jentera pemadam.

Katanya, api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan yang mudah terbakar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki dan wanita dewasa cedera iaitu melecur di tapak kaki masing-masing.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya lagi.

Tiong memberitahu, tiada laporan kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 4.46 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily