3 lelaki juvana disyaki curi motorsikal ditahan

Ketiga tiga suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 Jun: Tiga lelaki juvana dicekup polis kerana disyaki terlibat mencuri sebuah motorsikal.

Tangkapan dibuat kurang dari lapan jam selepas motorsikal tersebut dilaporkan hilang oleh pemiliknya.


Kesemua suspek, berusia antara 15 dan 16 tahun itu, ditahan di kawasan dalam semak tepi pantai Batu 1 Lutong, Jalan Lutong-Kuala Baram pada malam Khamis sekitar jam 8.30 malam.

Motorsikal yang dilaporkan dicuri turut ditemui, tinggal hanya rangka.

Turut ditemui sebuah motorsikal yang dilaporkan hilang dipercayai dicuri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kesemua suspek juga dikompoun sebanyak RM1,500 tiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor. — DayakDaily