‘Geng Apik Setan’ curi motosikal guna van tumpas

Ahsmon menunjukkan motosikal curi yang berjaya ditemui semula.

KUCHING, 28 Sept: Satu sindiket dikenali sebagai ‘Geng Apik Setan’ yang dipercayai telah melakukan 15 kes curi motosikal berjaya dilumpuhkan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata sindiket terbabit tumpas dengan tertangkapnya empat ahlinya yang terdiri daripada lelaki tempatan berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun.

Katanya, tangkapan telah dibuat oleg Pasukan Khas Ope Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 20 September lalu.

“Modus operandi mereka ialah menggunakan van untuk mencuri motosikal dengan hanya mengangkat masuk motosikal yang dicuri ke dalam van dan terus membawanya ke sempadan untuk dijual ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di IPD Kuching, di sini hari ini.

Menurutnya juga, sindiket ini mensasarkan motosikal jenama Honda C100, Honda EX5, Honda Wave, Yamaha Y15, Yamaha Lagenda dan Yamaha Ego.

Turut dirampas daripada suspek ialah tiga buah motosikal dan sebuah van Toyota Hiace.

“Dengan penangkapan semua ahli sindiket terbabit yang aktif sejak awal tahun ini, kita percaya berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal di Daerah Kuching.

“Jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah sindiket ini dianggarkan RM60,000,” katanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda. — DayakDaily