3 kompaun dikeluarkan berkaitan pengendalian makanan di bazar Ramadhan setakat ini

Mohammad Jefri (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada pengendali makanan yang mematuhi peraturan berkaitan pakaian mereka di Bazar Ramadhan Stutong, Tabuan Jaya.

KUCHING, Mei 17: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) setakat ini sudah mengeluarkan sebanyak tiga kompaun semasa mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengendali makanan dengan ketiga-tiganya di bazar Ramadhan sekitar Sarikei.

Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak, Mohammad Jefri Crossley berkata demikian dengan tiga kompaun itu yang sebanyak RM100 setiap satu telah dikeluarkan dibawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan dikeluarkan setelah pihaknya memeriksa seramai 12,279 pengendali makanan di semua 72 bazar Ramadhan di seluruh Sarawak.

“Tiga kompaun terbabit dikeluarkan atas kesalahan yang berkaitan pakaian seperti tidak memakai apron dan penutup kepala,” katanya ketika JKNS mengadakan Program Walkabout Keselamatan dan Kesihatan Makanan sempena Ramadan di Bazar Ramadan Stutong, di Tabuan Jaya, di sini, semalam.


Mohammad Jefri berkata tiga kompaun tersebut bagaimanapun menurun bilangannya berbanding keseluruhannya sebanyak 145 kompaun sama dikeluarkan pihaknya pada Ramadhan tahun lepas dan ini berikutan peningkatan kesedaran pengendali makanan di bazar Ramadhan terhadap pematuhan peraturan berkaitan kebersihan.

Beliau berkata setakat ini juga berpuas dengan keselamatan makanan disediakan pengendali makanan dari 72 bazar Ramadhan di Sarawak termasuk 24 bazar Ramadhan itu di Kuching, Samarahan, Padawan dan Lundu yang ada sekitar 1,300 gerai kerana masih tiada mengesan sebarang kes keracunan makanan.

Katanya selain dari segi pakaian dan keselamatan makanan, pengendali makanan terbabit juga wajib mendapat suntikan anti tifoid dan menjalani taklimat Kursus Latihan Pengendali Makanan dengan tahun lepas sebahagian daripada 3,872 pengendali makanan yang diperiksa didapati mematuhi kedua keperluan itu.

Selain itu, tahun lepas juga sebanyak 2,173 premis makanan dan 16 kilang ais telah diperiksa Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan dari Pejabat Kesihatan Bahagian di seluruh Sarawak dan pemeriksaan mendapati 90 peratus premis terlibat mempunyai tahap kebersihan yang amat memuaskan.

Sementara itu mengenai larangan merokok di premis makan di bandar raya ini, beliau berkata setakat ini pihaknya hanya menjalankan penguatkuasaan dengan mendidik orang ramai supaya tidak merokok di premis terbabit berikutan larangan itu hanya mula dikuatkuasakan September 1, 2019.

Namun, pihaknya setakat ini sudah melawat 70 peratus dari 2,000 lebih premis terbabit di bandaraya ini bagi memberikan kesedaran kepada pemiliknya tentang permulaan penguatkuasaan larangan terbabit dan pengeluaran kompaun kepada orang ramai yang merokok di premis makan mereka. — DayakDaily