3 ditangkap positif dadah, senapang patah dirampas dalam ‘Ops Tapis’ di Bau

Suspek dan senapang patah yang dirampas dalam operasi tersebut.

BAU,3 Julai: Tiga lelaki ditangkap positif dadah dan selaras senapang patah buatan sendiri dirampas dalam Ops Tapis di Kampung Opar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 22 hingga 37 tahun.

Jelasnya, tangkapan pertama dilakukan di sebuah rumah di kampung tersebut sekitar jam 4.50 petang.


Beliau memberitahu, pemeriksaan ke atas suspek dan rumah tersebut tidak memjumpai apa-apa yang menyalahi undang-undang sehingga saringan air kencing dijalankan dan didapati suspek positif dadah.

Sementara tangkapan kedua dilakukan di kawasan kebun di kampung tersebut apabila pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara.

Menurut Poge, semasa diperiksa, didapati terdapat selaras senapang patah buatan sendiri berserta lima butir peluru di dalam kereta tersebut.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dan juga didapati positif dadah selepas saringan air kencing dijalankan.

Manakala tangkapan ketiga pula dilakukan juga di kawasan kebun berdekatan di mana seorang lelaki ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat mencurigakan.

Hasil saringan air kencing juga mengesahkan dia positif dadah.

Ketiga-tiga suspek berserta barang rampasan kemudian di bawa ke IPD Bau untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. — DayakDaily