20 majikan dikesan langgar peraturan di bawah Ordinan Buruh Sarawak

Working - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 28: Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTKS) meneruskan Operasi Pemeriksaan Pematuhan Gaji Minimum bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini.

Sebagaimana operasi hari pertama, operasi pada hari ini dijalankan dengan memberi tumpuan kepada pematuhan Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018.


JKTS dalam satu kenyataan media, memberitahu sebanyak 27 tempat pekerjaan telah diperiksa dan hasil daripada pemeriksaan tersebut, didapati dua majikan gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum (Pindaan) 2018.

Justeru itu kata JKTS, kertas siasatan akan dibuka bagi menyiasat pelanggaran tersebut di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Pada masa yang sama, seramai 20 majikan didapati melanggar peruntukan di bawah Ordinan Buruh Sarawak.

“Antaranya gagal menyedia dan menyimpan daftar terma dan syarat penggajian (14 kes), gagal menyedia dan menyimpan daftar peribadi (13 kes), gagal menyedia dan menyimpan daftar gaji dan elaun pekerja (12 kes),” kata JTKS hari ini.

JKTS menambah, antara kesalahan lain yang dikesan ialah gagal memberi notis di bawah seksyen 60A Ordinan Buruh Sarawak (7 kes), membayar gaji menerusi bank atau cek tanpa kebenaran bertulis pekerja (6 kes).

Seterusnya kata JKTS, kesalahan lain ialah gagal membayar gaji kerja hari kelepasan (5 kes), gagal untuk memberikan daftar gaji dan elaun kepada pekerja (4 kes), gagal membayar gaji hari kelepasan (3 kes), gagal membayar gaji kerja pada hari rehat (3 kes) dan sebagainya.

“Operasi serupa ini akan diteruskan sehingga bulan Ogos bagi memastikan pematuhan gaji minimum dan undang-undang perburuhan lain yang dikuatkuasakan oleh ketiga-tiga jabatan dan agensi yang terlibat,” kata JKTS. — DayakDaily