Bersatu Sarawak nafi kehadiran Tun M dalam Majlis Gawai Raya

Parti Pribumi Bersatu Malaysia logo (picture sourced from http://www.bersatu.org/logo.php)

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jun 28: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menafikan beberapa mesej yang sedang tular di media sosial, pemakluman informasi di radio tempatan dan media cetak berkaitan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad ke majlis Gawai Raya “anjuran” parti itu pada Ahad ini.

Dalam satu kenyataan media, parti itu berkata Dr Mahathir, selaku pengerusi Bersatu, serta presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir, tidak akan hadir ke majlis yang diadakan pada 30 Jun.


“Kesahihan berita mengenai kehadiran ketua parti berikut pada tarikh yang telah dinyatakan adalah tidak benar, selepas disahkan dari sumber-sumber sahih bahawa tiada undangan atau jemputan sedemikian,” Bersatu Sarawak berkata, sambil menegaskan bahawa mereka tidak terlibat dengan anjuran majlis tersebut.

“Kami berpendapat, anjuran majlis tanpa pengetahuan ibu pejabat Bersatu Sarawak adalah dari sumber-sumber yang tidak diketahui dan tidak dapat disahkan kepercayaannya.

“Bersatu Sarawak memandang serius perkara ini dengan pengelibatan individu atau kumpulan yang menggunakan nama ibu pejabat untuk menganjurkan sebarang aktiviti atas nama parti tanpa mengikut SOP, etika dan protokol yang betul,” parti itu menambah.

Dalam kenyataan sama, Bersatu Sarawak berkata mereka telah melaporkan perkara itu kepada pihak atasan agar siasatan boleh dijalankan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang tidak benar. — DayakDaily