Penduduk Rh Jarop, Changkol terima bantuan bakul makanan

Malcolm(empat dari kiri) pada penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Rh Jarop, Changkol di Lubok Antu.

KUCHING, 6 APRIL: Seramai 185 penduduk dari 40 buah pintu rumah di Rh Jarop, Changkol di Lubok Antu yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) menerima bantuan bakul makanan hari ini.

Bantuan telah diserahkan oleh Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Batang Ai Datuk Malcolm Mussen.

Menerusi bantuan bakul makanan tersebut, setiap pintu rumah menerima 2 kampit beras 10kg, minyak masak 5 liter, 2 paket gula 1kg, 1 paket garam 1kg, 4 bungkus mee segera dan 1 paket teh.


PKPD di Rh Jarop dilaksanakan selama 14 hari mulai 2 sehingga 15 April 2021 setelah seorang penduduknya dikesan positif Covid-19.

Terdahulu pada Ahad lepas, bakul makanan sumbangan daripada Malcolm telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan di rumah panjang tersebut. — DayakDaily