18,180 kes kemalangan jalan raya di Sarawak dari Jan-Nov tahun ini

Dato Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim (kanan) memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal di Batu Kawa selepas merasmikan Ops Selamat Perayaan Krismas 2017 bagi Sarawak.

KUCHING, Dis 19: Sebanyak 18,180 kes kemalangan jalan raya telah berlaku di negeri ini dari Januari sehingga November tahun ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim mendedahkan statistik terbabit yang menurun sedikit iaitu sebanyak 135 kes atau 0.7 peratus berbanding tempoh itu tahun lepas.

“Manakala jumlah kemalangan maut bagi tempoh itu tahun ini adalah sebanyak 345 kes yang menurun sebanyak lapan kes atau 2.3 peratus berbanding tempoh itu tahun lepas,” katanya ketika Majlis Pelancaran Ops Selamat Sempena Perayaan Hari Krismas 2017, di pasaraya Emart Batu Kawa, di sini, semalam.

Dzuraidi berkata keseluruhannya tahun ini ada sebanyak 17 titik hitam atau kawasan kerap berlaku kemalangan jalan raya di negeri ini iaitu di Lawas, Mukah, Sibu, Bintulu, Sarikei, Betong, Meradong, Kota Samarahan, Bau, Lubok Antu dan Sri Aman.

Titik hitam terbabit terletak di Kilometer (KM) 1 bagi Jalan Lawas/Terusan, KM4 bagi Jalan Lawas/Merapok, manakala Jalan Sibu/Bintulu (KM71, KM79 dan KM114), Jalan Sarikei/Betong/Meradong (KM431), Jalan Sri Aman/Sarikei (KM20, KM35, KM53, KM56), Jalan Sri Aman-Kuching (KM65), Jalan Dato Mohd Musa di Kota Samarahan (KM1, KM6, KM11, KM16), Jalan Bau/Lundu (KM2, KM9).

Katanya bagi Ops Selamat Perayaan Krismas 2017, operasi terbabit di negeri ini akan berlangsung selama 15 hari sehingga Jan 1 tahun depan dengan seramai 750 orang pegawai dan anggota polis kontinjen Sarawak terbabit memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan juga rumah yang ditinggalkan pemiliknya ketika bercuti menyambut perayaan itu.

“Lokasi tumpuan pihak polis sepanjang tempoh operasi ini kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya atau kawasan titik hitam dan juga kawasan titik panas jenayah yang kes pecah rumah sering berlaku,” katanya.

Beliau berkata operasi terbabit di jalan raya negeri ini juga akan berteraskan kaedah “penguatkuasaan penuh” memandangkan konsep advokasi dan kesedaran tidak memberi kesan kepada semua pengguna jalan raya. Pihaknya turut meminta orang ramai yang meninggalkan rumah ketika cuti perayaan ini supaya maklumkan kepada pihak polis dengan mengisi borang yang sudah disediakan.

Disamping itu polis dalam operasi terbabit juga akan bekerjasama dengan Lembaga Sungai Sarawak dan Jabatan Laut Sarawak bagi memastikan keselamatan orang ramai yang mengunakan jalan laut dan sungai di negeri ini.

Katanya polis dan agensi terbabit akan memberikan tumpuan kepada pengusaha bot express dan berharap mencapai kemalangan sifar di sungai dan laut negeri ini sepanjang operasi tersebut. — DayakDaily