250 penduduk Long Pilah sertai gotong-royong perdana sempena Krimas

Dennis merasmikan pili bomba yang direka khas oleh penduduk kampung.

TELANG USAN, Dis 19: Seramai 250 penduduk telah menyertai program gotong-royong perdana anjuran bersama JKKK Long Pilah, Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah dan Pasukan Rela Long Pilah di sini hari ini.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Menurut Dennis, objektif program tersebut ialah untuk meningkatkan kebersihan dan keceriaan kampung sempena sambutan Hari Krimas akan datang.


Katanya, program sama juga dapat mengeratkan hubungan antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan penduduk di Long Pilah, dekat sini.

“Antara aktiviti aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong pembersihan sekitar kampung dan pondok Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah.

“Pada masa sama, upacara perasmian pili bomba yang direkacipta khas oleh PBS Long Pilah turut dijalankan.

“Pemeriksaan dan audit peralatan kebombaan dan jentera Proton Arena PBS Long Pilah juga diadakan,” katanya di Long Pilah, hari ini.

Dalam majlis sama, Dennis turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM10,000 bagi kegunaan menjalankan aktiviti Pasukan Bomba Sukarela Long Pilah.

“Saya juga berharap agar latihan serta pili bomba dapat ditambah lagi untuk kegunaan kampung ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily