16 anggota polis berjalan 3.4km untuk melawat penduduk kawasan sempadan

Sebahagian anggota polis dari IPD Padawan bersama penduduk Kpg Sapit yang menyambut ketibaan mereka.

PADAWAN, 3 Nov: Seramai 16 anggota polis dari IPD Padawan sanggup berjalan kaki melalui kawasan berbukit sejauh 3.4 kilometer bagi mengunjungi penduduk kawasan sempadan negeri untuk mendengar permasalahan mereka serta berkongsi maklumat jenayah.

Lawatan sehari terbabit, sebahagian daripada program “community policing”, telah memilih Kampung Sapit yang merupakan perkampungan tradisional kaum Bidayuh dengan sekitar 50 rumah terletak di sempadan.

Rombongan anggota polis yang melibatkan enam pegawai atasan dan 10 anggota pegawai rendah telah mengunakan kenderaan sejauh 28.5 kilometer ke Kampung Parang dan seterusnya ke Kampung Sapit dengan berjalan kaki selama sejam melalui laluan konkrit dan berbukit.


Anggota polis dari IPD Padawan yang terlibat dalam program ke Kpg Sapit bergambar kenangan.

Ketibaan mereka kemudian disambut baik lebih kurang seramai 30 orang penduduk kampung itu yang diketuai ketua kampung Yuyoh Dumi.

“Tujuan program diadakan bagi mengeratkan hubungan IPD Padawan dengan komuniti Kampung Sapit, disamping menyampaikan nasihat, tips keselamatan serta mengedarkan risalah pencegahan jenayah kepada penduduk kampung dan mendengar permasalahan serta berkongsi maklumat khususnya dalam konteks langkah pencegahan jenayah,” menurut kenyataan media IPD Padawan hari ini.

Sesi dialog dengan penduduk kampung terbabit telah membangkitkan isu jenayah rentas sempadan, di mana masyarakat kampung Sapit mengesyaki jenayah terbabit adalah kes curi motosikal, dadah, senjata api dan lain-lain kes jenayah.

Sehubungan itu penduduk kampung terbabit yang bimbang keselamatan mereka turut menyuarakan hasrat agar pihak berkuasa menyegerakan pembinaan Pos Kawalan Keselamatan Sempadan di kawasan mereka.

Rombongan anggota polis IPD Padawan juga telah membuat pemantauan di kawasan batu persempadanan diantara Sarawak dan Indonesia sebelum berangkat pulang. — DayakDaily