Abang Johari: Jangan cenderung bawa anasir luar yang boleh gugat kestabilan sosial, politik

Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 30 Ogos: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan rakyat agar tidak membawa anasir-anasir luar melalui NGO-NGO tertentu untuk menggugat kestabilan sosial dan politik negeri.

Menurut beliau, perkara tersebut harus dielakkan kerana ancaman ideologi belum lagi berakhir, khususnya oleh negara-negara Barat.

ā€œOrang asing atau orang luar yang cuba mempengaruhi kita dengan pelbagai alasan tidak akan bersama kita sehingga ke penghujungnya.

ā€œPada akhirnya kelak, hanya orang Sarawak sahaja yang akan membantu orang Sarawak,ā€ katanya dalam Perutusan Sempena Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Sarawak hari ini.

Tambah Abang Johari, kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) sentiasa terbuka untuk berbincang secara ikhlas dengan mana-mana pihak.

Katanya, ia penting untuk menyelesaikan apa saja permasalahan yang mungkin dihadapi untuk kepentingan rakyat dan Sarawak.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata krisis politik negara kebelakangan ini juga telah merumitkan lagi keadaan kerana para kepimpinan atasan sentiasa dibelenggu oleh ketidaktentuan dan persoalan keabsahan perdana menteri.

Justeru beliau berharap penyelesaian yang telah dicapai mengikut kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini dengan perlantikan Perdana Menteri yang baharu akan membawa kepada kestabilan supaya usaha dapat ditumpu sepenuhnya terhadap pembasmian Covid-19.

ā€œSebagai ketua kerajaan GPS, saya ingin mengulangi pendirian bahawa kerajaan GPS sentiasa ingin mahu melihat kestabilan di peringkat kerajaan persekutuan agar perang terhadap Covid-19 dapat terus diperhebatkan dan ekonomi negara diperkukuhkan.

ā€œJika Covid-19 gagal dibendung dan ekonomi negara merudum, ia akan membawa kerugian kepada semua,ā€ kata Abang Johari. ā€” DayakDaily