11 mangsa hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

BETONG, Dis 14: Seramai 11 penghuni yang menetap di dua buah rumah hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka di Kampung Semarang, Pusa, dekat sini, musnah terbakar tengah malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah malam itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.18 tengah malam.

Katanya, sejurus menerima maklumat mengenai insiden tersebut, sepasukan 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dan BBP Saratok diarahkan ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran.
Lokasi kebakaran melibatkan dua buah rumah yang musnah terbakar.

“Apabila tiba, komander operasi mengatakan kebakaran itu melibatkan dua unit rumah kediaman iaitu sebuah rumah jenis setingkat dan sebuah lagi rumah dua tingkat.

“Kesemua penghuni rumah berkenaan juga berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, tindakan operasi pemadaman kebakaran itu adalah dengan menggunakan sumber air dari kolam berdekatan.

Katanya, operasi pemadaman terkawal sepenuhnya pada pukul 3.07 pagi.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa,” jelasnya lagi. — DayakDaily