1,000 Berarak Sempena Gawai di Sri Aman

Advertisement

SRI AMAN : Seramai lebih kurang 1,000 orang dari masyarakat Iban telah menyertai Perarakan Gawai Dayak 2017 di Sri Aman pada hari ini.

Perarakan yang dianjurkan oleh Persatuan Ketua Masyarakat Iban Daerah Sri Aman itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing.

Dalam ucapan perasmian beliau, Tan Sri James menyeru masyarakat Iban supaya menghayati erti sebenar perayaan Gawai dan menggunakan perayaan ini untuk mengkukuhkan hubungan antara satu sama lain.

Advertisement

“Perayaan Gawai harus dilihat sebagai satu landasan bagi masyarakat Iban untuk bersatu kerana hanya dengan bersatu kita dapat membangunkan sosio-ekonomi masyarakat.”

“Selain daripada itu, kita harus menggunakan masa ini untuk menziarahi keluarga dan sahabat handai bagi mengeratkan hubungan sesama kita.”

Masyarakat Iban juga dinasihati untuk menggunakan segala peluang yang ada pada musim Gawai untuk meningkatkan ekonomi setempat seperti menganjurkan Bazar Gawai Dayak seperti yang diadakan di Kuching dan Miri baru – baru ini.

“Saya berharap agar pihak penganjur ataupun mana – mana pihak yang berminat, untuk menganjurkan Bazar Gawai Dayak Sri Aman pada tahun depan seperti mana yang dilakukan di Kuching dan Miri.” 

“Aktiviti – aktiviti sebegini amat digalakkan kerana ia mampu menjanakan sumber pendapatan kepada masyarakat Iban di Sri Aman. Ia juga berpotensi untuk dijadikan tarikan pelancongan yang secara tidak langsung akan memberi impak yang positif kepada masyarakat di Sri Aman dan juga negeri Sarawak,” tambah beliau. 

Semasa upacara itu, Tan Sri James Masing telah menyumbang sebanyak RM 30,000 kepada pihak penganjur untuk penganjuran perarakan tersebut disamping berjanji untuk memberi sumbangan sebanyak RM 50,000 untuk penganjuran perarakan pada tahun depan.

Perarakan tersebut turut menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Sri Aman merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Masir Kujat (RM 10,000),  ADUN Simanggang merangkap Menteri Muda Kesejahteraan Masyarakat Francis Harden Hollis (RM 15,000) dan ADUN Balai Ringin merangkap Menteri Muda Belia dan Sukan Snowdan Lawan (RM 7,000).

Temenggong Samuel Lawing adalah pengerusi penganjur bagi perarakan yang julung kalinya di adakan di daerah itu.

Turut hadir bersama perarakan tersebut adalah ADUN Bukit Begunan Mong Dagang serta Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak Dato Sri Doris Sophia Brodie.- dayakdaily.com

    Advertisement