​Jesly Jabu Yakin Muzik Dayak Mampu Pergi Jauh


KUCHING: Industri muzik dayak menunjukkan perkembangan yang positif terutamanya dengan adanya teknologi moden seperti perkembangan ICT yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak sedikit sebanyak memberi impak kepada industri muzik dayak terkini.

Pencipta lagu yang tidak asing dikalangan masyarakat dayak, Jesly Jabu berkata, dengan teknologi yang ada pada masa kini, pemasaran album ke seluruh dunia dapat dilakukan.

“Bukan mudah untuk menjayakan sesebuah album kerana ia memerlukan kerjasama dari semua pihak untuk menghasilkan lagu, lirik, susunan muzik , pengambaran,  suntingan, mixing serta proses mastering yang baik. Sekiranya ini dapat dilakukan dengan cara yang betul, barulah muzik dayak mampu pergi jauh dan setanding dengan muzik yang lain di dunia ini.”


“Sebagai seorang pencipta lagu dayak di Sarawak, saya rasa ramai artis artis dayak yang berbakat boleh diketengahkan untuk pergi lebih jauh lagi dalam industri muzik tanah air,” katanya kepada dayakdaily.com.

Menyentuh mengenai perkembangan artis Dayak, Jabu tidak menafikan bahawa kemunculan artis – artis baru dapat membantu memeriahkan lagi industri muzik dayak di negeri ini serta memperlihatkan kebolehan artis kaum lain untuk menyanyikan lagu Dayak.

“Sebagai contoh penyanyi melayu Sarawak Eyqa Saiful berjaya meniti populariti dengan album ‘Padamka Nama Aku‘ hasil ciptaan saya dan abang saya Matthius Mambang.

Tambah beliau, ini menandakan muzik Dayak menerima sambutan yang baik oleh seluruh kaum di Sarawak dan tidak mustahil akan terus berkembang pada masa hadapan. – dayakdaily.com