Serian FA belum pasti mahu sertai Liga FAM 

KUCHING: Penyertaan pasukan Serian FA di dalam Liga FAM pada musim hadapan belum diputuskan lagi sungguhpun slot tersebut kini sudah disediakan untuk pasukan dari bahagian ke-13 Sarawak itu. 

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Bahagian Serian (PBBS) Philip Jabu di dalam satu kenyataan di akhbar Utusan Borneo, keputusan penyertaan Serian FA ke dalam Liga FAM hanya akan diputuskan oleh Presiden PBBS Mcalister Richard Riot dan Penaung PBBS Datuk Seri Richard Riot dalam masa terdekat. 

Serian FA dipelawa menyertai Liga FAM secara automatik pada tahun hadapan selepas pasukan tersebut muncul naib johan kepada Liga Bolasepak Rakyat Kebangsaan (LBRK)  musim ini.

Penyertaan ke Liga FAM walaubagaimanapun memerlukan Serian FA mempunyai sumber kewangan yang kukuh, serta tempat perlawanan dan latihan yang bersesuaian dengan status pertandingan tersebut selaku liga bolasepak ketiga tertinggi di Malaysia. 

Jika Serian FA mengambil keputusan untuk menyertai Liga FAM, ianya akan menjadi pasukan bolasepak ketiga yang kini aktif bermain di Liga Malaysia selepas Sarawak FA dan Kuching FA. – dayakdaily.com