1 Divisyen raikan 21 anggota pesara tentera

Tooh (tengah) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang pesara tentera.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 14: Seramai 21 anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan mereka diraikan dalam majlis meraikan anggota bersara peringkat 1 Divisyen Zon Kuching 2018 di Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang di sini hari ini.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tooh Choon Siang berkata majlis tersebut diadakan bagi menghargai jasa serta pengorbanan 21 orang pesara tentera itu sepanjang mereka masih dalam perkhidmatan.

Menurutnya, beliau percaya semua warga pesara telah menghadiri kursus yang telah disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) bagi mempersiapkan diri mereka dalam bidang yang bakal diceburi kelak.

Tooh (depan, enam kiri) merakamkan gambar bersama 21 pesara tentera.

“Walaupun mereka semua telah meninggalkan alam ketenteraan, namun hubungan kekeluargaan yang telah terjalin tidak akan putus.

“Justeru, saya menasihatkan mereka agar semua sentiasa berhubung dengan JHEV bagi memudahkan pemantauan dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Tooh menambah, selain itu JHEV juga akan sentiasa membantu veteran tentera dari aspek kebajikan dan perubatan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah para pegawai kanan, pegawai serta anggota tentera 1 Divisyen. — DayakDaily