Proses pengundian awal tentera lancar hari ini

Zamrose (kanan) menunjukan telunjuk kanan yang telah dicelup pada dakwat selesai membuang undi di Kem Muara Tuang.

KUCHING, 14 Dis: Proses pengundian awal bagi 12,585 anggota tentera dan pasangan sempena Pilihanraya Negeri ke-12 berlangsung lancar hari ini.

Setakat jam 10 pagi ini, sejumlah 30 peratus telah menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian awal masing-masing.

Menurut Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, pengundian awal ini diadakan di 16 pusat mengundi di seluruh Sarawak yang melibatkan 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).


“Bagi DUN Stakan seramai 4,848 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan pasangan membuang undi di pusat iaitu Dewan Serbaguna Kem Muara Tuang (2,331 pengundi) dan Dewan Bukavu, Kem Penrissen (2,517 pengundi),” katanya.

Zamrose serta isteri Datin Zainuriah Mustapha turut hadir membuang undi di Kem Muara Tuang.

Turut membuang undi di pusat yang sama ialah Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa.

Selain Stakan, 10 DUN lain yang terlibat ialah Tasik Biru, Tanjung Datu, Pending, Kota Sentosa, Muara Tuang, Bukit Begunan, Dudong, Nangka, Samalaju dan Lambir.

Pelaksanaan dan proses membuang undi berjalan lancar dengan pematuhan kepada penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan merekodkan kehadiran.

Ia dilaksanakan dengan sewajarnya melalui garis panduan pencegahan Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh SPR selain dilaksanakan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi. — DayakDaily