Lelaki berhadapan 9 tuduhan tipu tawar baiki rumah

Tertuduh (tengah) diiringi anggota polis ke Kompleks Mahkamah Limbang.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Dis 14: Seorang lelaki berhadapan sembilan tuduhan di Mahkamah Majistret Limbang di sini hari ini berhubung kes penipuan tawaran membaiki rumah antara November 2015 hingga Februari 2016.

Kesemua pertuduhan terhadap tertuduh telah dibacakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Rusmin Binning, di hadapan Majistret Mahkamah Limbang Mohd Hafizi Abdul Halim.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan mahkamah sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Jumlah jaminan mahkamah adalah sebanyak RM27,000. Sebutan semula kes tersebut 12 Feb, 2019.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata sebelum itu, tertuduh diberkas di Kuching pada 11 Dis lepas.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, tertuduh telah menipu mangsa-mangsa hingga melibatkan kerugian sebanyak RM109,040.

“Tertuduh sama sebelum ini juga telah dituduh dengan 44 pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 21 Nov lepas bagi tiga kes berasingan yang menggunakan modus operandi sama di Kuching melibatkan kerugian RM353,325.

“Modus operandi tertuduh ialah dengan datang ke rumah mangsa dan telah meninggalkan kad perniagaan tawaran kerja membaiki rumah,” katanya.

Mustafa menambah, mangsa kemudian telah menghubungi tertuduh untuk urusan tersebut.

Ujarnya, setelah persetujuan di antara mangsa dengan tertuduh, mangsa dikehendaki membuat pembayaran secara berperingkat ke akaun Public Bank tertuduh.

“Mangsa kemudian mendapati tiada kerja pembaikan rumah dibuat dan tertuduh telah melarikan diri,” katanya. — DayakDaily