Veteran ATM tidak berpencen terima bantuan khas RM350 secara ‘one-off’

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 1 Nov: Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara ‘one-off’ kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, ini selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.

“Merujuk kepada pembentangan Bajet 2022, kerajaan ingin memaklumkan bahawa Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara ‘one-off’ kepada 1 juta pesara kerajaan.


“Ini akan turut diberikan kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, inisiatif ini telah dilaksanakan pada Bajet 2021 di mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara.

Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) menganggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada veteran ATM berpencen, pencen terbitan dan veteran ATM tidak berpencen.

Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September 2021.

“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang bulan Januari 2022,” ujar beliau. — DayakDaily