1.35 juta penduduk Sarawak dikecualikan dari membayar bil elektrik bulanan tahun lepas

Manifesto BN Sarawak 2018 dibawah tajuk "Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat Akan Terus Menjadi Polisi Kami".

KUCHING, April 10: Kerajaan negeri mendedahkan keseluruhanya seramai 1.35 juta penduduk negeri ini telah dikecualikan dari membayar bil elektrik bulanan mereka tahun lepas.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini berikutan bil masing-masing kurang dari RM20 sebulan dan telah diberikan subsidi oleh kerajaan negeri bagi menjadikan pengunaan elektrik tersebut percuma kepada mereka.

“Ini walaupun Sarawak sekarang mempunyai kadar elektrik terendah di Malaysia dan walaupun berlaku peningkatan kos membangunkan kuasa elektrik di negeri ini,” katanya ketika menjelaskan manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak 2018 sebelum dilancarkannya di Ibupejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, di sini, semalam.


Abang Johari berkata demikian ketika menjelaskan manifesto itu dibawah tajuk “Mengurangkan Kos Sara Hidup Rakyat Akan Terus Menjadi Polisi Kami” yang juga dilaksanakan dengan tidak mengenakan tol untuk jalan raya di Sarawak termasuk Lebuhraya Pan Borneo dan jalan pesisir, terus memberi subsidi ke atas tambang feri serta tidak meningkatkan kadar cukai pintu pihak berkuasa tempatan.

“Kami juga telah mengekalkan kadar cukai pintu pihak berkuasa tempatan kita walaupun berlaku peningkatan kos bagi perkhidmatan disediakan mereka dan memenuhi harapan tinggi rakyat,” katanya.

Beliau berkata bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat juga pihaknya akan terus memberikan subsidi barangan keperluan dihantar ke kawasan luar bandar dengan sebanyak RM563.33 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu dari 2013 sehingga 2017.

“Kita juga terus memberikan bantuan untuk nelayan berbentuk elaun sara hidup dengan sebanyak RM142 juta telah dibelanjakan bagi tujuan itu dan telah membantu seramai 82,296 nelayan sejak 2008,” katanya.

Disamping itu pihaknya juga akan meneruskan Skim Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak dengan lebih 300,000 orang murid menerima skim itu sejak 2000 dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dengan sebanyak RM15 juta telah diperuntukan bagi membantu seramai 1,40,760 penerima tahun lepas. — DayakDaily