YSD dicadang menganjur liga bola sepak untuk pelajar sekolah luar bandar

Imran (enam dari kiri) bersama pelajar sekolah yang memenangi perlawanan bola sepak bersempena Kem Pemimpin Ke-2 Program Midnight Football di Kampung Tribal Borneo, Kampung Apar, Singai.

BAU, Ogos 15: Yayasan Sime Darby (YSD) selaku penaja program Midnight Football di Sarawak mencadangkan program itu mula aktiviti penganjuran liga bola sepak melibatkan pelajar sekolah di daerah luar bandar negeri ini.

Pengerusi YSD, Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar mahu liga terbabit mengadakan perlawanan bola sepak antara sekolah berkenaan setiap minggu seperti jadual perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini.

“Dengan program yang seperti ini, saya fikir anda (pelajar sekolah di daerah luar bandar Sarawak) akan menjadi lebih baik dari Kuching (dari segi pembangunan bola sepak),” katanya ketika merasmikan Kem Pemimpin Ke-2 Program Midnight Football di Kampung Tribal Borneo, Kampung Apar, Singai, di sini hari ini.


Imran malah percaya sekolah di daerah luar bandar Sarawak juga boleh ke hadapan dalam pembangunan bolasepak berbanding Semenanjung melalui liga itu kerana masih belum banyak tempat di Semenanjung yang ada liga bolasepak itu yang boleh melahirkan ramai bakat muda baru.

Selain itu, beliau turut menjangkakan liga bolasepak itu juga tidak begitu sukar dianjurkan sekiranya setiap sekolah yang mengambil bahagian dapat mengatur sendiri sesama mereka mengenai tempat dan masa perlawanan dan kemudian menghantar keputusan perlawanan kepada penganjur.

“Saya berharap jurulatih bola sepak bagi program Midnight Football mencari peluang mengalakkan lebih banyak sekolah (daerah luar bandar Sarawak) menyertai program ini dan seterusnya liga bola sepak boleh dianjurkan kepada sekolah tersebut,” katanya.

Beliau turut mendedahkan YSD menaja sebanyak RM320,000 untuk program itu yang bermula dari Disember 2018 sehingga Februari 2020 di Sarawak.

Sementara itu mengenai pencapaian program Midnight Foottball di negeri ini, Imran berkata dalam masa kurang dari satu tahun, seorang pesertanya telah dipilih untuk mewakili Sarawak dalam bola sepak di Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2019.

“Manakala tujuh peserta lain telah mendaftar di Sekolah Sukan Tabuan Jaya di Kuching dan tujuh peserta lain mewakili program itu pada April 2019 di Allianz Junior Football Camp (AJFC) Liga Malaysia,” katanya.

Dilancarkan pada September 2010, program Midnight Football adalah inisiatif Global Peace Foundation Malaysia yang bertujuan untuk membina watak, ketahanan dan kemahiran kepimpinan pelajar sekolah dengan menggunakan bola sepak sebagai perantara.

Ketika ini lebih 60 pelajar berumur antara 14 hingga 18 tahun dari tujuh sekolah di daerah Serian, Padawan dan Simunjan mengambil bahagian dalam program tersebut yang juga bertujuan memberi belia berisiko itu platform memperbaiki diri dan menjauhkan diri mereka dari tabiat dan aktiviti yang tidak sihat.

Aktiviti program itu ialah latihan dan perlawanan bola sepak, bengkel pembinaan sikap, kem kepimpinan, bengkel dan latihan psikologi. — DayakDaily