Yayasan Pekema Sarawak terus bantu golongan yang memerlukan bantuan

Abang Khalid (empat dari kiri) menyerahkan kunci kepada Dr Munirah sebagai simbolik penyerahan sumbangan van untuk PDK Sri Satok.

– oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 9: Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sarawak memberi komitmen akan terus menyumbang kepada golongan memerlukan bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Terbaharu, Yayasan Pekema Sarawak telah menyumbangkan sebuah van mesra orang kelainan upaya (OKU) kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok di sini hari ini.


Majlis penyerahan van berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden Pekema Cawangan Sarawak, Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki.

Berucap ringkas dalam majlis tersebut, Abang Khalid berkata, pihaknya sentiasa mengenalpasti golongan yang memerlukan di seluruh negeri ini untuk dibantu.

Jelasnya, Yayasan Pekema banyak menerima surat permohonan daripada pelbagai golongan yang mengharapkan bantuan.

“Bagaimanapun, kita perlu mengadakan perbincangan dahulu bagi menentukan bentuk bantuan yang perlu disalurkan.

“Contohnya, hari ini Yayasan Pekema Sarawak telah menyumbang sebuah van yang mesra OKU bagi membantu golongan istimewa itu,” katanya di sini hari ini.

Abang Khalid menambah, meskipun keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan kini, Yayasan Pekema Sarawak tetap membantu golongan yang memerlukan.

“Kita tahu, keadaan ekonomi di negara ini masa kini belum begitu stabil.

“Tetapi, situasi tersebut bukan menjadi alasan kepada kita untuk tidak menyalurkan sumbangan kepada kumpulan sasaran,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pekema Cawangan Sarawak, Dato’ Ismail Abang Saufi, Setiausaha Kehormat, Polycarp Joseph Garston dan Pengerusi PDK Sri Satok, Datin Dr Munirah Mohd Hassan. – DayakDaily

ENDS