Nahas dua lori, kelindan tersepit namun selamat

Kelihatan lokasi kemalangan melibatkan dua buah lori.

– oleh Dean Adam

SERIAN, Okt 9: Berpantang maut sebelum ajal.

Begitulah yang terjadi kepada seorang kelindan lori apabila dia selamat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan dua buah lori di Batu 37, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa yang berusia 27 tahun dilaporkan cedera selepas tersepit di tempat duduk depan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 2.35 petang.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori yang membawa muatan baja dan sebuah lagi lori.

“Pemeriksaan kemudian mendapati seorang kelindan yang menaiki lori yang tidak membawa sebarang muatan telah tersepit,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Ujarnya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Serian.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 2.56 petang selepas keadaan di lokasi kejadian kembali terkawal,” katanya. — DayakDaily