YA1M sumbang RM2,000 kepada 28 ahli veteran Persatuan Penyanyi Anak Sarawak

Nancy (dua dari kiri) menyapa artis veteran dari Persatuan Penyanyi Anak Sarawak.

KUCHING, Mac 17: Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada 28 ahli veteran Persatuan Penyanyi Anak Sarawak di sini hari ini.

Mengetuai rombongan YA1M tersebut ialah presidennya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave.

Turut hadir ialah Pemegang Amanah YA1M iaitu Datuk Yusuf Haslam dan Datuk Abd Rahman Hasan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan ADUN Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu turut hadir memeriahkan majlis itu.

DJ Dave berkata, sumbangan itu diberikan kepada artis yang mencecah usia 60 tahun dan memerlukan bantuan kewangan untuk tujuan perubatan.

“Sumbangan ini adalah untuk menjaga kebajikan dan memberikan pembelaan kepada artis tempatan.

“Setakat ini, YA1M telah menyampaikan sumbangan kepada lebih 600 artis di seluruh negara yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan lain-lain,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Penyanyi Anak Sarawak di sini hari ini.

Rombongan YA1M merakam gambar bersama ahli Persatuan Penyanyi Anak Sarawak.

Sementara itu, Nancy mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada YA1M dan Persatuan Penyanyi Anak Sarawak atas penganjuran program yang menjadi contoh kepada NGO lain di negeri ini.

“Terima kasih kepada YA1M kerana sudi menyumbangkan RM2,000 seorang kepada 28 ahli veteran Persatuan Penyanyi Anak Sarawak.

“Saya berharap YA1M akan terus berbakti kepada masyarakat atau kumpulan artis melalui aktiviti kemasyarakatan.

“Saya juga berharap pihak berkaitan boleh menggunakan pendekatan yang lebih kreatif dalam membantu masyarakat menerusi inovasi sosial yang dapat membantu menyelesaikan isu-isu sosial dalam masyarakat,” katanya lagi. — DayakDaily